Saturday, March 5, 2011

Mari Belajar Bahasa Arab Sambil Sambil

Assalamualaikum.
Bahasa kesukaan Allah ialah Bahasa Arab.
Ana mahu mengajak sahabat semua berusaha mempelajari bahasa arab sedikit demi sedikit.
Bukan lah hendak memaksa.
Cuma mahu berkongsi ilmu.
Sila tekan link dibawah.

Sumber : http://wanrusli.net/

Friday, March 4, 2011

Persediaan sebelum tidur

Riwayat:  (al-Bukhari)


Kategori:  Ibadah


Hadith: 

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Zaid al-Ansari r.a bahawa dia pernah melihat Nabi Muhammad SAW berbaring terlentang di dalam masjid, meletakkan sebelah kakinya pada sebelah kakinya yang lain.

Huraian Hadith: 

Sekiranya hendak tidur kita disarankan mengikut sunah Rasulullah SAW. Dalam suatu riwayat menerangkan: "Daripada 'Aisyah r.a katanya: "Nabi SAW apabila berbaring di tempat tidurnya pada setiap malam, baginda mengangkat kedua tangannya (seperti berdoa), lalu meniup dan membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq, surah an-Nas, kemudian baginda menyapukan tangannya itu ke seluruh badan yang dimulai dari kepalanya dan mukanya dan bahagian depan daripada badannya, Baginda melakukannya sebanyak tiga kali. (at-Tirmizi) Selain itu sebelum tidur baginda menunaikan sembahyang witir kerana Nabi SAW juga telah mengingatkan umatnya bahawa syaitan sering mengganggu manusia ketika tidur. Oleh itu kita dianjurkan supaya mengamalkan solat witir setiap kali sebelum tidur. Ketika baginda terbangun daripada tidur di tengah malam pula, baginda akan membasuh muka dan kedua belah tangan sebelum baginda tidur semula. Berkenaan dengan cara tidur pula, Rasulullah SAW selain daripada tidur miring ke sebelah kanan, baginda juga pernah tidur terlentang dengan cara meletakkan satu kaki di atas yang lain sebagaimana maksud hadis di atas.

Sumber : JAKIM

Memberi Salam Amat Digalakkan Dalam Islam

Riwayat:  Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Kategori:  Akidah

Hadith:

Daripada Anas r.a. bahawasanya ia berjalan di kalangan beberapa orang kanak-kanak lalu ia memberi salam kepada mereka dan katanya Nabi s.a.w. berbuat demikian.
Huraian Hadith:

1. Sunat memberi salam kepada sesama muslim tidak mengira darjat, pangkat dan peringkat orang yang diberi salam.

2. Memberi penghormatan kepada orang yang lebih rendah martabat dan pangkat tidak akan mengurangkan kemuliaan seseorang.

3. Umat Islam hendaklah sama-sama hormat menghormati antara satu sama lain dan mengamalkan sunnah Nabi s.a.w dengan memberi salam apabila bertemu walaupun terhadap kanak-kanak.

Sumber : JAKIM

Sunday, February 6, 2011

Renungan bersama

Saya sertakan di sini artikel saya untuk Majalah SOLUSI Bil. 25. Semoga dapat direnungkan dan diambil manfaatnya.

Hari itu mata suci Rasulullah s.a.w. seolah-olah tercari-cari seseorang. Petang itu agak redup. Suasana Masjid Nabawi seperti biasa. Kelihatan beberapa halaqah sedang berjalan pada petang itu. Ada yang kelihatan seperti sedang bermuzakarah. Ada yang sedang asyik mendengar penerangan dan penyampaian oleh beberapa tokoh sahabat seperti Ubay bin Ka'ab, Abu Hurairah mahupun Abu Bakr as-Siddiq r.ahum.

Tiba-tiba, Rasulullah s.a.w. menyapa seorang jemaah masjid yang berada di situ. Anas r.a. sedang berada disamping baginda. Rupanya Rasulullah s.a.w. ingin bertanyakan khabar berkenaan seorang sahabiah yang sering menyumbangkan khidmatnya kepada Masjid Nabawi dengan membersihkan masjid daripada sampah sarap.

Apabila ditanyakan, baharulah dimaklumkan bahawasanya sahabiah tersebut telah pun meninggal dunia dan sudahpun dikebumikan. Rasulullah s.a.w. lalu bersabda, "Jika meninggal dunia seseorang daripada kalangan kamu maka hendaklah kamu maklumkan kepada ku!"

Lalu Rasulullah s.a.w. menunaikan solat jenazah kepada beliau, lalu bersabda, "Sesungguhnya aku telah melihatnya berada di dalam syurga disebabkan (amalannya yang suka berkhidmat) menyingkirkan sampah-sarap daripada masjid."

(Ilustrasi daripada hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabrani di dalam kitab al-Kabir, dan periwayat-periwayatnya adalah periwayat yang sahih)

Riwayat ini sebenarnya sudah cukup untuk membayangkan betapa mulianya sebuah masjid di sisi Allah s.w.t. Untuk hanya sedikit kaitan bagi memuliakannya dan sedikit khidmat kepadanya, sudah cukup untuk melayakkan seseorang itu dimuliakan dengan diberikan syurga sebagainya ganjarannya.

Adakah satu perkara lain yang lebih jelas bagi menggambarkan betapa redhanya Allah s.w.t. terhadap sesuatu perkara daripada berita bahawa seseorang itu dimasukkan ke dalam syurga disebabkan amalannya yang tertentu?

Jika dengan hanya sedikit khidmat membersihkan sampah daripada masjid pun sudah diberikan ganjaran syurga, apatah lagi ganjaran yang disediakan oleh Allah s.w.t. kepada mereka yang memberikan komitmen harian untuk mengimarahkan masjid? Cuba kita renungkan, betapakah kemuliaan yang Allah s.w.t. sediakan bagi mereka yang sanggup berulang alik ke masjid demi menghidupkan masjid dengan amalan-amalan yang sewajarnya hidup di dalam sesebuah masjid.

Kemuliaan masjid bukan kerana binaannya, tetapi kerana amalan-amalan yang sepatutnya sentiasa hidup di dalamnya. Al-`Allamah Al-Muhaddith Asy-Syaikh Muhammad Yusuf al-Kandahlawi rah.a., pengarang kitab Amaniyul-Ahbar dan kitab Hayatus-Sahabah, seorang ulama yang pakar berkenaan Sirah Nabawiyah telah menyimpulkan bahawa Masjid Nabawi dan masjid-masjid di Madinah semasa xzaman Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat telah dihidupkan dengan empat amalan teras iaitu dakwah, ta'lim dan ta'allum, ibadah dan khidmat.

Disebabkan itulah, bagi seseorang muslim yang sering berulang-alik mengimarahkan masjidnya, Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan agar orang itu dipersaksikan berkenaan hakikat iman yang dimilikinya.

Abu Sa'id al-Khudri r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Jikalau engkau melihat seseorang lelaki yang sentiasa berulang-alik ke masjid, maka persaksikanlah baginya dengan (ketulenan) imannya. Allah Taala telah berfirman, "Sesungguhnya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang yang benar-benar beriman dengan Allah dan hari Akhirat." (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Jika itulah ganjaran dan kemuliaan seseorang yang mendedikasikan dirinya untuk memakmurkan masjid-masjid, apakah penyaksian keimanan yang selayaknya diberikan kepada mereka yang telah mengerahkan fikiran, masa, tenaga dan harta untuk memujuk rayu manusia lainnya agar datang kepada masjid dan menghidupkan amalan-amalan masjid?

Melalui kisah ringkas di atas juga, kita mendapat satu isyarat, bagaimana golongan sahabiah juga turut memainkan peranan dalam memastikan masjid-masjid sentiasa dihidupkan dengan amalan dakwah, pengajian ilmu, ibadat-ibadat khusus dan khidmat.

Hari ini juga, jika golongan wanita muslimah mukminah turut memainkan peranan untuk secara istiqamah dan berhikmah menggalakkan setiap ahli keluarga lelaki mereka agar pergi ke masjid dan melibatkan diri secara aktif dengan usaha-usaha memakmurkan masjid agar hidup dengan empat amalan kemasjidan tersebut, maka suasana yang pernah mewarnai dan mencorakkan pola aktiviti di Masjid Nabawi semasa zaman Rasulullah s.a.w. akan kembali terzahir!

Semoga Allah menerima kita - umat hujung akhir zaman ini - untuk kembali mulia melalui cara yang telah memuliakan generasi salafus-soleh umat ini, iaitu apabila seluruh gerak hidup dan hati sanubari mereka, diikat dengan masjid!



Sumber dari : Ustaz Gunawan
http://gunawanaziz.blogspot.com/

Menikam Bayang Sendiri

Jika diberi pilihan, saya tidak mahu menulis artikel ini. Sebabnya, saya seolah-olah sedang menyakiti diri sendiri, atau paling tidak pun seperti sedang mencampakkan batu ke langit, lalu batu itu jatuh ke muka saya sendiri. Tapi, saya terpaksa tampil dengan artikel ini kerana semakin lama, semakin sedikit orang yang faham akan hal ini.

Ini ialah perkara yang penting. Terima kasih kerana kalian sudi meminjamkan sedikit masa kalian untuk baca dan faham. Mudah-mudahan, ada manfaat yang besar menanti kita.

Ada orang bertanya, apa beza iman dan islam?

Bahkan, ada yang memahami bahawa orang yang islam, sudah pasti beriman. Yang tidak beriman hanya orang kafir.

Jika kalian juga faham begitu, maka ketahuilah bahawa kefahaman kita berbeza. Saya faham bahawa orang yang islam belum tentu beriman. Tapi, orang beriman pasti sudah islam. Saya tidak bermaksud mahu mengajak kalian supaya bersetuju dengan saya. Tapi saya cuma mahu agar kita semua berganjak keluar dari 'zon perasan' ini.

Islam dan iman.

Seorang lelaki datang kepada Rasulallah lalu berkata, "Kami sudah beriman!" lalu Allah menurunkan ayat 14 surah al-Hujurat. Satu firman yang sangat indah tapi sangat pedas juga.

"Orang-orang arab badui berkata: 'Kami telah beriman'. Katakanlah (kepada mereka), "Kamu belum beriman, tetapi katakanlah 'Kami telah tunduk (islam)', kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu..."- 49;14

Seterusnya dalam ayat 15, Allah menceritakan tentang sifat orang beriman itu- "Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya)"

Kalau kita benar-benar memerhatikan dan memikirkan ayat ini, pasti ada tiga atau empat pengajaran daripada al-Quran, dapat kita ambil.

Seharusnya, orang yang mengaku beriman memiliki nilai-nilai ini.

(1)- Percaya kepada Allah dan Rasulallah
(2)- Tidak ragu-ragu walaupun dalam satu perkara
(3)- Membuktikan dengan amal soleh dan susah payah dalam agama.

Mari kita menilai diri kita kembali. Selama ini kita mengaku diri kita beriman, tapi adakah salah satu daripada 3 perkara ini kita sudah miliki?

Yang saya perhatikan, kita semua gagal dalam nilai kedua itu iaitu 'tidak ragu-ragu dengan islam'. Dek kerana kita masih ada sedikit keraguan dengan islam, saya perhatikan, kita seperti tidak bersungguh-sungguh dalam beragama. Bahkan, kita bertindak mengasingkan agama dari kehidupan.

Masih mahukan bukti dan contoh?

Terlalu banyak. Cara kita berpakaian, cara kita berkawan, cara kita bergaul dengan sahabat yang berlainan jantina, bahkan cara kita membaca dan menulis juga banyak silap.

Saya juga suka membawa diri kita melihat semula ayat-ayat awal dalam al-Quran. Surah al-Baqarah muka surat 3 mulai ayat 8.

'Mari kita beriman kepada Allah dan Rasul-Nya'

'Pasti. Kami sudahpun beriman seperti kamu'

'Benarkah? tapi mengapa kamu tidak menjalankan apa yang telah Allah dan Rasul-Nya perintahkan?'

'Ish..takkanlah kami nak menipu kamu pula. Kami telah beriman. Percayalah!'

'Baiklah, jika benar kamu beriman. Silalah berhenti berbuat kerosakan di bumi ini'

'Jangan gusar. Kami ini bukanlah manusia yang membuat kerosakan. Bahkan, kami ini manusia yang membuat kebaikan'

'Kebaikan? Bohong! jika benar kamu berbuat kebaikan, tunjukkan buktinya'

'Bukti yang bagaimana kamu mahu? Tidakkah kamu telah memerhatikan, kami ini ada membaca blog-blog ilmiah dan agama juga.Sama seperti kamu'

'Adakah itu sudah cukup untuk menjadi bukti?'

'Habis, bagaimana?'

'Jika benar kamu beriman, maka silalah amalkan mana-mana kebaikan yang kamu belajar dan silalah tinggalkan dosa dan maksiat yang kamu tahu. Buktikan dengan amalan kamu!'

'Adakah kamu mahu supaya kami jadi seperti orang-orang yang pelik itu? Ah, mereka itu orang-orang yang bodoh! Sikit-sikit nak ikut al-Quran. Sikit-sikit nak ikut agama. Otak sempit! Huh... langsung tak maju!'

'Jadi, kamu kata orang beriman itu seperti orang gila?'

'Bukankah hakikatnya begitu? Sikit-sikit mahu kembali kepada al-Quran. Bebas lah sedikit. Takkanlah setiap benda nak ikut cakap Allah dan Rasul-Nya kot. Kalau macam tu, bila kita nak bebas?'

'Jadi, kamu tidak beriman...'

'Hei! Aku beriman lah. Ah! Lantak kau lah. Yang penting aku tetap nak kata, aku beriman!'

Dan 'aku' itu ialah kita. Saya dan anda...

Perasan.
Cukuplah 'perasan' beriman. Cukuplah. Mari kita belajar sirah. Saya sendiri sedang mentelaah satu kitab sirah susunan Ustaz Johari Yaman. Beliau menyusun kitab ini dengan bersumberkan 26 kitab rujukan karangan ulama-ulama silam. Kitab ini hanyalah satu ringkasan dari kitab-kitab besar dan ia bertajuk "Mengenal Muhammad s.a.w"

Satu lembaran demi lembaran saya buka, dan sebaris demi sebaris ayat saya baca. Saat itu, mata saya akan berkaca-kaca. Bulu roma saya akan berdiri tegak. Saya sangat teruja, kagum dan terpesona dengan keimanan para sahabat Rasulallah. Dan benarlah, mereka sahaja yang layak mengaku beriman kerana mereka ada bukti.

Kita, mahu mengaku beriman? Sila sertakan bukti yang saya pasti, jarang-jarang ada. Kita hanya sudah islam. tapi belum tentu kita beriman.

Kesimpulan

"Iman sebesar zarah diganjari dengan syurga 10 kali dunia" -maksud hadis.

Kerana kita rasa diri kita sudah ada iman sebesar atom, maka sebab itulah kita rasa terselamat dari murka Allah. Kita rasa 'tak apa' bila kita meninggalkan dakwah. Kita rasa 'tak apa' bila kita sudah mampu solat, baca Quran, dengar ceramah dan beramal solah. Kita lupa tentang ahli keluarga kita dan kita lupa jiran serta sahabat kita.

Betulkah kita sudah ada iman sebesar zarah? Teruslah hidup seperti ini jika kita rasa kita sudah cukup baik.

Saya? Saya rasa diri saya sangat penuh dosa, dan saya mahu berubah. Saya tidak mahu hanya insaf sekejap. Anda pula bagaimana?

Saturday, February 5, 2011

Kejayaan Bukan Datang Dengan Tiba-Tiba

Dari mimpi lahirlah impian. Semacam dari kata akar yang sama. Dua-duanya berkaitan dengan imaginasi. Hmm...bukankah imaginasi mampu menjadi realiti?

"If you have the power to dream it then you have the power to achieve it."

Kata-kata semangat dari Mr. X. Tak cukup lagi,

"What a mind can conceive and believe, it can achieve."

Kita merenung kembali kisah Ted Williams yang menyimpan seribu macam harapan untuk keluar dari belenggu kesusahan. Sekali nampak macam mustahil. Seorang yang hidupnya merempat di tepi jalan bertahun-tahun lamanya ingin mengubah kehidupan. Dan Ted berjaya.

Namun kejayaannya bukan datang dengan tiba-tiba. Ada usaha dan tawakkal disertakan bersama! Kita bagaimana?

Indahnya kehidupan seorang muslim bila kita mendengar ganjaran Syurga. Oh Allah, kurniakanlah kami Syurga Firdaus.

Imaginasinya sudah ada. Doa pun sudah ada. Cuma usahanya sahaja tidak seberapa.

Aku teringat suatu peristiwa. Waktu itu kami dijemput untuk ke kediaman rasmi Perdana Menteri.

"Eh kita nak pakai baju apa ni," tanya kawanku.

"Ntah..cuba ko tanya Dollah," balasku.

Dollah adalah orang yang menguruskan perjumpaan kami ini.

"Korang ada kemeja tak?" tanya Dollah.

"Takde la pulak..kiteorang tak bawak," balasku sedikit kerisauan.

"Hmm...t-shirt tak sesuai. Orang besar-besar dalam majlis ni. Jap aku fikir," terang Dollah.

Hmm..t-shirt nampaknya tidak sesuai untuk bersembang dengan orang kenamaan. Martabat tinggi agaknya.

Lalu bagaimanakah kesesuaian untuk bersama dengan orang yang hebat dalam Syurga? Pernah diambil kira?

Saidina Abu Bakar menginfakkan seluruh hartanya untuk Islam. Beliau adalah penghuni syurga.

Kita? 50 sen pun berkira. Boleh buat beli ais krim.

Itu belum cerita hendak datang solat berjemaah di masjid. Tidak cukup masa. Ada perjuangan lagi besar di luar sana!

Sumber : Artikel I Luv Islam

Thursday, February 3, 2011

Kepentingan menjaga solat.

Riwayat:  Riwayat at-Tirmidzi


Kategori:  Ibadah


Hadith: 


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman: Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya? Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. 

Huraian Hadith: 


i) Seorang mukmin yang sebenar sudah tentu tidak akan mencuaikan ibadat sembahyang fardhu yang diwajibkan ke atasnya termasuklah menjaga waktu sembahyang, mematuhi tertib sembahyang dan sebagainya di samping mengerjakan ibadat sunat seperti sembahyang sunat, puasa sunat dan lain-lain setakat yang termampu olehnya.

ii) Sesungguhnya sembahyang itu jika dikerjakan dengan sempurna dapat mencegah seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar sebaliknya orang yang mengerjakan ibadat sambil lewa tidak akan dapat merasai nikmat ketenangan dan ketakwaan yang sebenar kepada Allah S.W.T. Dia akan menganggap bahawa ibadat itu adalah suatu yang memberatkan. Lantaran itulah kita mendapati ramai orang yang tidak segan silu melakukan dosa dan maksiat sekalipun dia mengerjakan sembahyang, puasa dan sebagainya.

iii) Rebutlah segala peluang yang ada semasa hidup di dunia ini untuk mengerjakan kebaikan, hayatilah kata-kata (athar): Berusahalah untuk duniamu seolah-olah engkau hidup selama-lamanya, dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah engkau akan mati esok hari.

Sumber : JAKIM