Friday, January 28, 2011



Keratan Akhbar Sinar Harian

SERI MEDAN - Pertubuhan Kemajuan Islam Malaysia (Perkim) telah menubuhkan kelab di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam usaha menyebarkan dakwah Islamiah kalangan pelajar bukan Islam dan mereka yang ingin mendalami agama ini.

Penubuhan kelab dikenali Kelab Perkim ini juga bagi membantu saudara baru dalam kalangan pelajar dan salah sebuah IPT yang telah mempunyai kelab ini ialah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Yang Dipertua Kelab Perkim UTHM, Azrin Shah Adenan berkata, tujuan utama kelab ini ialah untuk merapatkan hubungan dan mendekati saudara baru di samping untuk berdakwah.

Menurutnya, ada juga dalam kalangan saudara baru ini yang mungkin masih belum mendalami sepenuhnya ajaran Islam dan memerlukan bimbingan dan Kelab Perkim ini boleh dijadikan tempat rujukan.

“Kami juga akan mem- bantu mereka yang masih belum memeluk Islam tetapi berminat dan mempunyai hasrat melakukannya melalui ceramah; penerangan dan aktiviti lain.

“Hasrat kami ialah untuk berdakwah dan mengharapkan lebih ramai yang menjadi saudara baru kerana jalan yang mereka pilih ini adalah yang sebenarnya,” katanya kepada Sinar Harian pada pe- rasmian kelab berkenaan di Kampung Seri Menanti, Seri Medan.

Turut hadir, Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Johor (Jaij), Sheikh Yahya Ahmad; Pengarah Pusat Islam UTHM, Dr Syed Mohamad Dawilah Al-Eidrus dan Ketua Kampung Seri Menanti, Omar Salleh.

Program ini adalah anjuran Perkim dengan kerjasama Jaij, UTHM dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Seri Menanti.

Azrin Shah berkata, semua golongan muda yang beragama Islam seharusnya memainkan peranan memberi bantuan kepada saudara baru dan mereka yang berminat dengan Islam.

Katanya, itulah sebabnya Perkim menubuhkan Kelab Perkim di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S) di negara ini di mana golongan muda boleh menyumbang bakti untuk membantu saudara baru ini.

“Kita tidak mengira tahap umur dan kedudukan seharusnya memainkan peranan yang sama untuk membantu mereka yang berminat dengan Islam dengan memberikan galakan.

“Diharapkan penubuhan Kelab Perkim ini dapat memberikan bimbingan sebaiknya kepada mereka yang berminat untuk me- meluk Islam selain ahlinya mestilah komited memainkan peranan masing-masing,” katanya.

Sumber : Akhbar Sinar Harian

No comments:

Post a Comment